Dari Impian Jadi Kadet Hingga Realiti Kehidupan Pelajar: Kisah Sebuah Perjuangan

Kehidupan sebagai seorang pelajar bukanlah sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi apabila harapan dan impian kita bertentangan dengan realiti yang penuh dengan cabaran. Saya ingin berkongsi perjalanan saya, satu cerita tentang pengorbanan besar yang saya buat untuk mencapai impian, namun akhirnya saya hanya dapat melihat impian itu terurai begitu sahaja. Ini adalah kisah saya tentang pembedahan mata, pinjaman pendidikan, kegagalan untuk menjadi kadet UPNM, dan bagaimana saya menghadapinya dengan segala kesulitan yang ada.

1. Pengorbanan Untuk Menjadi Kadet ALK.

Semuanya bermula apabila saya terpaksa menggunakan hampir keseluruhan simpanan ibu saya untuk menjalani pembedahan mata yang bernilai RM18,000. Pembedahan ini bukanlah LASIK biasa, tetapi ICL (Implantable Contact Lens), yang sememangnya lebih mahal. Kenapa saya perlu buat pembedahan ini? Sebab untuk menjadi pegawai kadet di UPNM, pembedahan mata adalah salah satu syaratnya jika rabun. Saya tahu ini bukanlah perkara mudah, tapi saya percaya inilah jalan terbaik untuk mengejar impian saya. Ibu saya bukanlah seorang yang kaya, dia hanya menjalankan perniagaan catering kecil-kecilan tanpa pekerja tetap, manakala ayah saya pula bekas pemandu teksi yang tidak memiliki pencen tetap.

Dengan keadaan kewangan yang terbatas, saya tak punya pilihan lain selain menggunakan duit ibu saya. Namun, saya rasa sangat tertekan. Saya sudah tahu betapa sukarnya keluarga saya, namun impian untuk menjadi pegawai kadet itu sangat kuat, sehingga saya sanggup mengorbankan segalanya.

2. Masalah Kegagalan Dalam Mendapatkan Kadet ALK di UPNM

Walaupun saya sudah melakukan persediaan untuk menjadi pegawai kadet di UPNM, nasib tidak berpihak kepada saya. Saya telah melalui segala syarat yang diperlukan dan berjaya menghadiri sesi temu duga hingga ke peringkat board akhir yang sering dikatakan sebagai 'confirm dapat'. Namun, masalahnya adalah saya belum melakukan pembedahan mata pada waktu pemeriksaan semula. Pembedahan yang sepatutnya saya lakukan lebih awal tertunda kerana kanta untuk pembedahan sampai lambat dari tarikh sepatutnya. Ketika saya dipanggil semula, saya masih belum selesai menjalani pembedahan, dan saya akhirnya terlepas peluang tersebut. Kecewa? Sudah tentu.

Saya juga terpaksa berulang-alik dari Pasir Gudang ke Kuala Lumpur setiap minggu, ditemani oleh kawan baik saya yang setia menemani saya ketika saya berada dalam keadaan tertekan ini. Saya meminjam wang daripada pakcik saya sebanyak RM18,000 untuk pembedahan dengan harapan dapat membayarnya selepas menerima gaji sebagai kadet ALK, yang katanya akan memberi RM1,800 sebulan bersama pelbagai faedah lain seperti makan percuma dan bonus daripada kerajaan. Namun, sayangnya, takdir tidak memihak kepada saya, dan impian saya musnah begitu sahaja.

3.Menghadapi Kekalahan dan Kehidupan Sederhana

Selepas gagal mendapat kadet, saya berusaha untuk mengisi masa dengan kerja part-time melalui aplikasi Troopers, di mana saya mencuba sedaya upaya untuk mengumpulkan sedikit wang. Walaupun banyak batch pencapaian yang saya capai, ia tetap tidak cukup untuk meringankan beban kewangan saya. Saya hidup dengan bajet yang ketat, hanya lepas untuk perbelanjaan asas, dan banyak kali saya terpaksa memilih antara membeli makanan atau membeli barang keperluan lain seperti barang mandi dan barang-barang latihan untuk Palapes.

Selain itu, saya juga merasakan sangat sukar untuk melihat rakan-rakan yang berjaya menjadi kadet ALK di UPNM, mereka yang lebih dihormati dan dihargai berbanding kami yang hanya kadet PALAPES biasa. Bahkan, jika dibandingkan dengan universiti awam lain, saya merasa seperti menjadi 'anak tiri'. Kadet palapes di UPNM tidak diiktiraf setinggi kadet ALK (Akedami Latihan Ketenteraan), yang jauh lebih berprestij. Bahkan, peralatan latihan kami hanyalah barang terpakai yang sudah lusuh dan dari kadet ALK, jauh berbeza dengan universiti lain yang lebih menghargai pengorbanan para kadet PALAPES mereka.

4. Rasa Malu dan Kekecewaan

Saya tak dapat nafikan rasa malu yang saya alami. Malu dengan keluarga besar saya yang sudah banyak memberi pinjaman kepada saya, dan saya masih belum mampu untuk membayar kembali. Malu kerana setiap perbualan saya selama ini yang penuh dengan impian untuk menjadi kadet kini bertukar menjadi kegagalan. Saya rasa seperti saya sudah gagal dalam hidup, dan tidak ada apa yang boleh dibanggakan lagi. Semua harapan saya, segala usaha saya, seolah-olah menjadi sia-sia.

5.Realiti Pahit yang Terpaksa Dihadapi

Pada akhirnya, saya berfikir jika saya hanya ingin belajar dan tidak terlalu terikat dengan impian menjadi kadet, mungkin saya lebih baik memasuki universiti lain yang lebih mudah dan murah seperti UiTM, yang hanya memerlukan yuran sekitar RM500 berbanding dengan UPNM yang mengenakan yuran lebih tinggi. Namun, saya masih berharap dan berusaha untuk berjaya di UPNM meskipun segala rintangan yang dihadapi.

Pinjaman YPJ yang lambat masuk, kehidupan yang serba sederhana, kegagalan untuk menjadi kadet, dan tekanan mental yang semakin meningkat adalah sesuatu yang sukar untuk diterima. Saya berharap suatu hari nanti, segala pengorbanan dan usaha saya ini akan memberi hasil yang lebih baik, walaupun sekarang saya hanya mampu menahan rasa kecewa dan bersabar.

Saya percaya, walaupun impian saya hancur, perjalanan ini akan mengajar saya erti ketabahan, kesabaran, dan keberanian untuk terus bangkit.Ini hanyalah perasaan terpendam.

Saya okay je bila ditanya kerana orang akan cakap saya ni lebih" dan saya tahu ada orang ada masalah lebih besar tetapi kita diberikan masalah berbeza-beza.

Comments